Friday 13 January 2012

KELEBIHAN AL-QUR'AN

 KELEBIHAN AL-QUR'AN


1.Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya”.
(  Hadith Riwayat Muslim )
2. Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah A-li ‘Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”.
( Hadith Riwayat Muslim )
3. Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
( Hadith Riwayat Bukhari )
4. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. :
“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )
5. Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )
6. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”.
( Hadith Riwayat Muslim )
7. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )
8. Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :
“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al Quran”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Sunday 1 January 2012

PUASA LAHIR PELAJAR BIJAK

Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
NOTA:  Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu, 30 Julai 2011

Azali Azlan adalah seorang pelajar Sek. Men. Agama di Yan, Kedah, yang telah menjadi pelajar cemerlang dalam keputusan SPM Tahun 2007 dengan mendapat 21A.  Apabila ditanya rahsia kecemerlangannya Azali Azlan menjelaskan bahawa beliau banyak berpuasa, minum susu, makan kurma dan madu.    Malah ramai lagi pelajar yang mengamalkan berpuasa apabila berdepan dengan tahun peperiksaan.  Hasilnya, pelajar-pelajar ini menjadi pelajar yang cemerlang. 

Kebetulan bulan Ramadan datang sebelum tibanya peperiksaan penting iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM.  Para pelajar perlu merebut peluang ini sebaik-baiknya dan membetulkan persepsi masing-masing bahawa datangnya bulan Ramadan sebelum bulan peperiksaan merupakan satu rahmat dan kelebihan. 

Puasa memberikan kita lebih fokus.

Apabila seorang pelajar itu menjaga puasanya bermakna dia tidak akan membuang masa melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen, melayari internet, bersembang, melepak dan sebagainya.  Dengan mengurangkan gangguan-gangguan sebegini pelajar akan mudah untuk fokus kepada pelajarannya.  Biasanya, apabila bulan puasa tiba anak-anak lebih gemar berada di rumah berbanding di luar.  Ini membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan mengulangkaji pelajaran.  Puasa juga memberikan kelebihan kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkatkan kemampuan pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang dipelajari.

Puasa memberikan kita lebih masa.

Biasanya, dalam bulan Ramadan semua orang memulakan masanya lebih awal.  Malah waktu persekolahan juga dipendekkan dengan pelajar-pelajar dibenarkan pulang lebih awal dari biasa.  Tambahan pula pelajar tidak perlu bergegas ke kantin untuk makan pagi dan tengahari.  Ini memberikan lebihan masa kepada para pelajar dan jika pelajar bijak memanfaat dan mengurus masanya maka dia akan mempunyai banyak masa bagi mengulangkaji pelajarannya.  Kelebihan seperti ini tidak ada pada bulan-bulan biasa oleh itu manfaatkanlah Ramadan sebaik-baiknya.

Perut yang kenyang merangsang rasa malas dan mengantuk.

Pada bulan-bulan biasa pelajar cenderung untuk makan dengan banyak pada waktu tengahari dan mengantuk serta malas di waktu petang.  Malah ramai juga pelajar yang mengantuk dan malas meskipun masih lagi berada diwaktu pagi.  Perut yang kenyang adalah antara penyebab kepada masalah malas dan mengantuk ini.  Dengan berpuasa, masalah ini dapat diatasi.  Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat anda sihat, segar dan bertenaga. 

Bulan Ramadan memudahkan kita bangun awal.

Waktu belajar yang paling sesuai adalah di awal pagi.  Oleh itu pelajar digalakkan untuk tidur awal dan bangun seawal jam 4.00 pagi.  Apabila bangun, buatlah solat tahajud dan solat hajat kemudian mulalah menelaah pelajaran.  Bangun di awal pagi memberikan pelajar beberapa kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar, tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan minda yang lebih fokus.  Oleh itu manfaatkanlah waktu bulan Ramadan ini sebaik-baiknya untuk belajar dan beribadah.

Doa orang berpuasa dimakbulkan.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka."  Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir".  Jelas di sini kelebihan orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah.  Oleh itu, pelajar mesti menggunakan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.  Hak pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin tetapi keputusan sebenar tetap dalam ketentuan Allah.  Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulangkaji keluar dalam peperiksaan.  Juga berdoalah agar diri mampu melakukan yang terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan.

Bulan Ramadan adanya Malam Lailatulqadar.

Kita semua sedia maklum yang dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatulqadar.  Inilah malan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap hamba Allah yang beriman.  Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar bertemu dengan malah yang hebat ini agar permohonan kita diangkat ke langit dan dimakbulkan oleh Allah.  Dengan izin Allah, maka pelajar mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan.

SEKIAN.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...