Friday 13 January 2012

KELEBIHAN AL-QUR'AN

 KELEBIHAN AL-QUR'AN


1.Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya”.
(  Hadith Riwayat Muslim )
2. Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah A-li ‘Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”.
( Hadith Riwayat Muslim )
3. Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
( Hadith Riwayat Bukhari )
4. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. :
“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )
5. Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )
6. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”.
( Hadith Riwayat Muslim )
7. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )
8. Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :
“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al Quran”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...