Anak kita; Tanggungjawab Kita
Sebelum anda terus membaca buku ini, cuba gambarkan wajah setiap seorang
dari anak-anak anda. Kemudian anda tanyakan diri anda; Berapa orangkah dari
mereka yang anda rasa dapat menyelamatkan anda di akhirat nanti? Berapa
orangkah yang akan mendoakan anda apabila anda mati kelak? Berapa orangkah yang
akan meminpin tangan anda untuk masuk ke syurga?
Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila
tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus,
merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan
kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda
Rasulullah s.a.w.;
إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali
dari tiga perkara iaitu:
Sedekah jariah
Ilmu yang diambil manfaat dengannya
Anak yang soleh yang mendoakan untuknya”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Setiap dari kita wajib menjaga dan mendidik anak-anak kita supaya
menjadi anak yang soleh. Anak kita adalah tanggungjawab kita. Anak-anak bukan
sekadar anugerah Allah kepada kita, tetapi yang lebih besar dari itu mereka
merupakan amanah yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita. Allah ingin menguji
kita; adakah kita bersungguh-sungguh menjaga dan mendidik mereka atau tidak?
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah)
Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu,
sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak
kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar”.
(al-Anfal: 27-28)
Di dalam al-Quran Allah memerintahkan kita agar memelihara diri kita dan
juga ahli keluarga kita (yakni isteri dan anak-anak kita) dari api neraka.
Allah berfirman;
“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari
api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…”. (at-Tahrim: 6)
Dalam menghuraikan maksud memelihara keluarga dari api neraka, Saidina
Ali berkata; yakni “kamu didiklah mereka serta ajarlah mereka”. Berkata Imam
Qatadah; ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka
dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka
dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka
untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah
mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki
muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang
difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”.
(Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)
Apa makna anak soleh?
Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada
ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih
utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak
yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu
tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat
kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya’Allah anak itu secara
otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana
sahaja ia berada.
Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?
Tidak ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan
melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang
sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan
menghidupkan Biah Islamiyyah (yakni suasana keislaman) di dalam keluarga dan
rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati
Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.
“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan
RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan
kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)
Seterusnya di bawah ini kita bentangkan perkara-perkara yang mesti kita
lakukan untuk melahirkan anak-anak yang soleh;
1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
Kita selalu mendengar ungkapan dari para ulama’ yang menyebutkan;
أَوَّلُ الدِّيْنِ مَعْرِفَةُ اللهِ
“Asas agama ialah mengenal Allah”.
Perkara pertama yang wajib kita ajarkan kepada anak-anak kita ialah
kalimah Syahadah (لا إله إلا الله، محمد رسول الله). Mengajar kalimah Syahadah bukan hanya mengajar menutur atau mengucapkannya
sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang hari ini, tetapi juga
mengajar apa pengertian kalimah tersebut?, apa yang tuntut olehnya? dan apa
perkara-perkara yang bertentangan dengan kalimah tersebut yang mesti dijauhi
dari melakukannya?.
Kita perlu memberitahu anak-anak kita –dari semasa ke semasa- bahawa
dengan mengucapkan kalimah tersebut mereka telah mengisytiharkan diri mereka
beriman kepada Allah. Oleh demikian, mereka wajib mentaati Allah pada setiap
ketika dan dalam setiap gerak-geri serta tingkah-laku mereka. Pada masa yang
sama, mereka wajib menolak segala yang bertentangan dengan kehendak Allah sama
ada yang berupa agama (yang lain dari Islam), fahaman, ideologi, budaya, gaya
hidup, tingkah-laku, peraturan, undang-undang dan sebagainya. Inilah tuntutan
kalimah Syahadah yang dapat kita fahami dari firman Allah:
“Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus
selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah:
256)
Menurut Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan
dengan ‘simpulan yang teguh’ (العروة الوثقى) dalam ayat di atas ialah kalimah “لا إله إلا الله”. Adapun
thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga
ibadah-ibadah wajib yang lain
Rasulullah s.a.w. sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil
berat perihal solat anak-anak kita, di mana baginda bersabda;
مُرُوْا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاْءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاْءُ عَشْرِ سِنِيْنَ
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh
tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah
berumur sepuluh tahun”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari
Abdullah bin Amru r.a.)
Solat adalah tiang agama. Menunaikan solat beerti menegakkan agama dan
meninggalkannya beerti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai
rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di samping mendidik
anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat menjadi benteng kepada
mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala social. Ini melihat kepada kekuatan
yang ada pada solat dalam mencegah manusia dari melakukan dosa dan munkar
sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah sendiri;
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar”.
(al-Ankabut: 45)
Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja
mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka
berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat sehingga solat
itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita,
mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan membenteng mereka
dari melakukan kejahatan dan maksiat.
Selain dari solat, kita juga wajib mengasuh mereka menjaga ibadah-ibadah
wajib yang lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya.
3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?
Menuntut ilmu agama diwajibkan oleh Allah ke atas setiap orang Islam
sama ada lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”.
(Riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas r.a. dan al-Hasan bin Ali
r.a.)
Bagi anak-anak, tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada mereka asalnya
adalah kewajipan ibu-bapa. Namun jika ibu-bapa tidak mampu mengajar sendiri
anak-anak mereka, mereka wajib mencari seorang guru/ustaz yang dapat mengajar
anak-anak mereka segala hal yang wajib diketahui tentang agama merangkumi;
a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan
dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim
Kita melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama
kepada anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan ilmu-ilmu duniawi seperti
sains, matematik dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak
bagi memastikan anak-anak mereka lulus dengan cemerlang dalam ilmu-ilmu
tersebut. Namun ilmu agama mereka abaikan. Mereka tidak pernah risau anak-anak
mereka jahil tentang agama asalkan pandai ilmu-ilmu lainnya. Kerana itu tidak
hairanlah jika kita dapati hari ini ramai anak-anak orang Islam yang semakin
liar dari agama; meninggalkan solat, tidak tahu membaca al-Quran, tidak menutup
aurat dan mudah terjebak dengan maksiat dan munkar. Semua gejala ini puncanya
tidak lain dari pengabaian terhadap didikan agama oleh ibu-bapa.
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman)
Anak-anak memerlukan qudwah (yakni contoh/tauladan) untuk menjadi
anak-anak yang soleh. Qudwah ini seharusnya bermula dari ibu-bapa dan juga
suasana di rumah. Biah atau suasana di rumah mempunyai peranan yang besar dalam
membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di dalam rumah hendaklah
dihidupkan. Pada masa yang sama, elakkanlah sebarang bentuk maksiat dan munkar
dari rumah kita. Selain itu, menghidupkan sunah Nabi di dalam rumah juga
memberi kesan besar dalam mewujudkan biah/suasasa keislaman di dalam rumah.
Antara sunnah Nabi s.a.w. yang perlu kita praktikkan di rumah ialah;
a) Membaca al-Quran di rumah
Seboleh-bolehnya, ibu-bapa hendaklah menunjukkan minat mereka terhadap
al-Quran dengan selalu membacanya di rumah di hadapan anak-anak mereka. Dalam
satu hadis, Rasulullah mengibaratkan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di
dalamnya umpama kubur-kubur. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda;
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فيه سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya
syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”.
(Riwayat Imam Muslim)
Bagi ibu-bapa yang tidak berkesempatan membaca al-Quran di rumah atau
tidak berkemampuan membacanya, maka sebagai alternatif lain untuk menghidupkan
suasana al-Quran di rumah ialah dengan memutarkan kaset-kaset atau cd-cd
al-Quran di dalam rumah pada setiap hari terutamanya di waktu pagi dan pada
masa anak-anak berhimpun di rumah.
b) Mengerjakan solat-solat sunat di rumah
Sabda Rasulullah s.a.w.;
صَلُّوْا أَيُّهَا النَّاسُ فِيْ بُيُوْتِكُمْ؛ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاةِ صَلاَةُ المَرْءِ فِيْ بَيْتِهِ إِلاَّ المَكْتُوْبَةَ
“Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya
solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali
solat yang fardhu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.)
Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kerjakanlah
sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu
ibarat kubur”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)
Antara solat sunat yang digalakkan untuk dikerjakan di rumah ialah solat
dhuha, solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat tasbih, solat witir,
solat sunat yang mengiringi solat fardhu dan sebagainya. Ibu-bapa yang selalu
mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan memberi qudwah kepada anak-anak
dalam menanamkan sikap suka beribadah dan meningkatkan kesedaran rohani mereka.
Lebih baik lagi jika anak-anak turut diajak bersama-sama mengerjakan
ibadah-ibadah tersebut. Adalah harus –sebagai latihan- pada selang-selang waktu
tertentu solat-solat sunat tersebut (khususnya solat malam atau qiyamullail)
dilakukan secara berjamaah bersama ahli keluarga dengan diimankan sendiri oleh
bapa sebagai ketua keluarga. Sabda Rasulullah s.a.w.:
إذا أيْقَظَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّيَا ـ أَوْ صَلَّى ـ رَكعَتينِ جَمِيعاً كُتِبَا في الذَّاكِرِينَ اللّه كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ
“Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu
mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan
ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan
perempuan-perempuan yang banyak berzikir”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abi Said
r.a.)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi
seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan
isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan
solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…”. (Riwayat Abu Daud dari Abu
Hurairah r.a.)
c) Hidupkan budaya memberi salam
Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;
يا بُنَيَّ إذَا دَخَلْتَ على أهْلِكَ فَسَلِّمْ تَكُنْ بَرَكَةً عَلَيْكَ وعلى أهْلِ بَيْتِكَ
“Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu)
maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas
kamu serta ahli rumah kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.)
Memberi salam bermakna kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan
kepada orang yang kita ucapkan salam kepadanya. Apabila ibu-bapa mengucapkan
salam kepada anak-anak mereka (tatkala baru sampai di rumah atau tatkala ingin
keluar dari rumah atau ingin berpisah dengan mereka) maka ia telah mendoakan
keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka. Apabila mereka menjawabnya, maka
mereka mendoakan pula keselamatan dan kesejahteraan untuk bapa atau ibu mereka.
Fenomena saling doa-mendoakan ini pastinya akan mewujudkan suasana harmoni dan
kasih-sayang di dalam keluarga.
Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku
tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan
saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda;
أفْشُوا السَّلامَ بَيْنَكُمْ
“Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli
keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas,
adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa
(terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah,
adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting
kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan
kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau
Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan;
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَاْدُ الْمَسَاْجِدَ فَاشْهِدُوْا لَهُ بِالإِْيْمَاْنِ
“Jika kamu lihat seorang lelaki selalu berulang-alik ke masjid, maka
saksikanlah untuknya dengan iman (yakni akuilah bahawa ia sememangnya seorang
yang benar beriman)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abi
Sa’id r.a.)
Masjid adalah rumah Allah. Orang yang hatinya terikat dengan masjid
menunjukkan bahawa jiwanya dekat dengan Allah. Alangkah bertuahnya kita jika
anak-anak kita memiliki hati dan jiwa sedemikian. Oleh itu, perlulah kita
berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan anak-anak kita dengan masjid, atau
sekurang-kurangnya surau atau mushalla. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w.
menceritakan tujuh orang yang akan mendapat perlindungan Allah di akhirat,
antara mereka ialah ‘seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah dan
seorang lelaki yang hatinya terikat dengan masjid’. (Hadis riwayat Imam Bukhari
dan Muslim dari Abu hurairah r.a.)
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak
kita
Semangat jihad yang kita maksudkan ialah semangat cintakan agama dan
kesedaran untuk berkorban demi agama. Ramai di kalangan kita menganggap
anak-anak belum tiba masanya untuk didedahkan dengan semangat jihad kerana
mereka masih kecil. Anggapan ini ternyata salah. Sebenarnya dari kecillah kita
perlu tanamkan semangat jihad ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka akan
terbiasa dengan semangat ini sejak awal mereka mengenali dunia dan kehidupan
lagi. Lebih-lebih lagi apa yang disemai ketika kecil akan melekat kukuh dalam
jiwa manusia sebagaimana kata hikmah;
اَلتَّعْلِيْمُ فِي الصِّغَاْرِ كَالنَّقْشِ فِي الْحَجَرِ
‘Pengajaran semasa kecil umpama memahat di atas batu”.
Untuk menyemai semangat jihad dan perjuangan Islam ini, antara usaha
yang perlu kita lakukan ialah dengan menceritakan kepada anak-anak kita –dari
masa ke semasa- sejarah/sirah perjuangan Nabi kita Muhammad s.a.w. dan juga
tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu terdiri dari para Nabi dan Rasul, para
sahabat, para alim-ulama’, para Syuhada’ dan sebagainya.
Amat menyedihkan kita apabila melihat anak-anak umat Islam hari ini di
mana mereka lebih mengenali artis-artis dan pelakon-pelakon dari mengenali para
Nabi dan Rasul, tokoh-tokoh Islam, ulama’-ulama’ dan para pejuang Islam.
Keadaan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari kita sebagai ibu-bapa
untuk mengubahnya.
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
Antara perkara yang perlu kita tanamkan sungguh-sungguh ke dalam jiwa
anak-anak kita dalam usaha kita mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh
ialah sikap cintakan ilmu dan sukakan majlis-majlis ilmu. Dengan adanya
semangat cintakan ilmu dan majlis ilmu akan timbullah keinginan dalam diri
anak-anak kita untuk menuntut ilmu agama secara berterusan hingga ke akhir
hayat mereka tanpa had umur atau batasan waktu.
Jika kita perhatikan majlis-majlis ilmu hari ini, boleh dikatakan
keseluruhan yang hadir ialah golongan dewasa dan juga orang-orang tua. Di mana
anak-anak atau kanak-kanak? Kenapa mereka tidak dibawa bersama oleh ibu-bapa
mereka untuk sama-sama menuntut ilmu? Demi masa depan anak-anak kita, marilah
kita ubah keadaan ini. Marilah kita bawa bersama anak-anak untuk sama-sama
berada di dalam majlis ilmu yang diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai taman
syurga. Baginda bersabda;
إذا مَرَرْتُمْ بِرِياضِ الجَنَّةِ فارْتَعُوا. قالُوا: وَمَا رِياضُ الجَنَّةِ يا رَسُولَ اللّه قَاْلَ: مَجَاْلِسُ الْعِلْمِ
“Apabila kamu berjalan melalui taman syurga, maka singgahlah di situ”.
Lalu sahabat bertanya; “Apa itu taman syurga, ya Rasulullah?”. Jawab
Rasulullah; “Iaitulah majlis-majlis ilmu””. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu
‘Abbas r.a.)
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.
Kita tidak boleh mengongkong anak-anak kita dari berkawan. Namun apa yang
kita perlu lakukan ialah memastikan anak-anak kita memilih kawan-kawan atau
teman-teman yang baik supaya ia tidak terjebak ke dalam kejahatan dan maksiat
kerana pengaruh kawan. Hal ini merupakan pesanan Rasulullah s.a.w. di mana
baginda bersabda;
اَلْمَرْءُ عَلَى دِيْنِ خَلِيْلِهِ، فلْيَنْظُرِ امْرؤٌ مَنْ يُخَالِل
“Seseorang itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap
dari kamu memerhatikan dengan siapa ia berteman”. (Riwayat Imam Abu Daud dari
Abu Hurairah r.a.)
Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita agar
pandai memilih kawan/teman kerana kawan boleh mempengaruhi pengamalan agama
kita. Maka sebagai ibu atau bapa, pesanan yang sama perlu kita sampaikan kepada
anak-anak kita kerana mereka adalah tanggungjawab kita.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
Doa adalah senjata kita orang-orang beriman. Dengan doa kita boleh
memohon apa sahaja hajat kita dari Allah. Malah Allah amat suka hamba-hambanya
yang banyak berdoa dan bermohon dariNya. Salah satu perkara yang perlu selalu
kita pohonkan dari Allah ialah anak-anak yang soleh. Seboleh-bolehnya setiap
kali kita berdoa, kita tidak lupa berdoa agar kita sekelian dianugerahkan Allah
anak-anak yang soleh. Antara bentuk doa memohon anak soleh ialah yang termaktub
di dalam al-Quran iaitu;
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari
orang-orang soleh”. (as-Shaffat: 100)
Atau doa;
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan
zuriat keturunan kami (anak-anak soleh yang menjadi) penyejuk mata-mata kami
(apabila melihatnya) dan jadikanlah kami ikutan kepada orang-orang bertakwa”.
(al-Furqan: 74)
Selain itu, kita juga perlu berdoa agar Allah memberi ilmu dan kefahaman
agama kepada anak-anak kita. Antara doanya ialah;
اَللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
“Ya Allah, wahai Tuhan kami! Berilah kefahaman kepadanya dalam agama dan
ajarkanlah kepadanya memahami al-Quran”.
Doa ini adalah doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk
Ibnu ‘Abbas r.a.. Berkat doa baginda ini, Ibnu ‘Abbas telah muncul di kalangan
sahabat sebagai seorang pentafsir al-Quran yang paling unggul sehingga Abdullah
ibnu Mas’ud menyatakan; “Sebaik-baik pentafsir al-Quran ialah Ibnu ‘Abbas”.
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita
Ibu-bapa hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak
supaya sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan, teguran dan
kata-kata nasihat dari ibu-bapa merupakan mutiara-mutiara berharga untuk
anak-anak kerana ibu-bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak.
Peranan ibu-bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan tidak terhenti setakat
anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga bila-bila sekalipun mereka
telah dewasa. Di bawah ini kita kemukakan beberapa nasihat dan pesanan dari
para nabi dan orang-orang soleh untuk anak-anak mereka sebagaimana yang
terdapat di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w. untuk kita mencontohinya;
Pesanan Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya
Pesanan Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya dapat kita dilihat dalam surah
al-Baqarah, ayat 132;
“Ibrahim telah berpesan kepada anak-anaknya dengan agama itu (yakni
Islam) dan (begitu juga) Yaakob (di mana mereka berkata kepada anak-anak
mereka): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam)
untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim”.
(al-Baqarah: 132)
Pesanan Nabi Yaakob untuk anak-anaknya
Allah menceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 133) bahawa Nabi Yaakob
ketika hampir kematiannya ia telah berpesan kepada anak-anaknya supaya kekal
menyembah Allah, tidak mengsyirikkannya.
“Adakah kamu menyaksikan ketika Yaakob hampir menemui kematian, ketika
itu ia berkata kepada anak-anaknya; ‘Apakah yang kamu akan sembah selepas
kematianku?’. Jawab mereka; ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapamu
Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang maha esa dan kepadaNyalah sahaja
kami berserah diri”. (al-Baqarah: 133)
Pesanan Luqman al-Hakim
Pesanan Luqman kepada anaknya dibentangkan dengan panjang lebar oleh
Allah di dalam surah Luqman. Pesanan Luqman ini amat baik jika kita jadikan
pesanan yang diulang-ulang dari masa ke semasa untuk anak-anak kita. Antara
yang dipesankan oleh Luqman kepada anaknya ialah;
“Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa ia memberi
nasihat kepada anaknya itu; ‘Wahai anak kesayanganku! Janganlah kamu
mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik
itu merupakan satu kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)
“Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan
serta laranglah dari kemungkaran, dan bersabarlah atas segala bencana yang
menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
perlu diambil berat melakukannya”. (Luqman: 17).
Apa yang kita kemukakan ini hanyalah sebahagian kecil pesanan Luqman
untuk anaknya. Untuk melihat pesanannya secara keseluruhan, sila rujuk surah
Luqman (ayat 13 dan ayat-ayat seterusnya).
Pesanan Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas
Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; (Suatu hari) aku
berada di belakang Nabi s.a.w.. Lalu baginda bersabda kepadaku; “Hai anak! Aku
ingin mengajar kamu beberapa perkataan (iaitu); ‘Peliharalah Allah nescaya Ia
akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu akan mendapatinya di
hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu
memohon pertolongan, pohonlah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawa
sesungguhnya jika sekelian umat manusia berhimpun untuk memberi manfaat kepada
kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan
dengan suatu yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka semua
berhimpun untuk memberi mudarat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka
dapat memudaratkan kamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah
akan menimpa kamu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran’”.
(Riwayat Imam Tirmizi)
No comments:
Post a Comment