Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
NOTA: Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu, 30 Julai 2011
Azali Azlan adalah seorang pelajar Sek. Men. Agama di Yan, Kedah, yang
telah menjadi pelajar cemerlang dalam keputusan SPM Tahun 2007 dengan
mendapat 21A. Apabila ditanya rahsia kecemerlangannya Azali Azlan
menjelaskan bahawa beliau banyak berpuasa, minum susu, makan kurma dan
madu. Malah ramai lagi pelajar yang mengamalkan berpuasa apabila
berdepan dengan tahun peperiksaan. Hasilnya, pelajar-pelajar ini
menjadi pelajar yang cemerlang.
Kebetulan bulan Ramadan
datang sebelum tibanya peperiksaan penting iaitu UPSR, PMR, SPM dan
STPM. Para pelajar perlu merebut peluang ini sebaik-baiknya dan
membetulkan persepsi masing-masing bahawa datangnya bulan Ramadan
sebelum bulan peperiksaan merupakan satu rahmat dan kelebihan.
Puasa memberikan kita lebih fokus.
Apabila seorang pelajar itu menjaga puasanya bermakna dia tidak akan
membuang masa melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti
menonton televisyen, melayari internet, bersembang, melepak dan
sebagainya. Dengan mengurangkan gangguan-gangguan sebegini pelajar akan
mudah untuk fokus kepada pelajarannya. Biasanya, apabila bulan puasa
tiba anak-anak lebih gemar berada di rumah berbanding di luar. Ini
membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh
guru dan mengulangkaji pelajaran. Puasa juga memberikan kelebihan
kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkatkan kemampuan
pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang
dipelajari.
Puasa memberikan kita lebih masa.
Biasanya, dalam bulan Ramadan semua orang memulakan masanya lebih
awal. Malah waktu persekolahan juga dipendekkan dengan pelajar-pelajar
dibenarkan pulang lebih awal dari biasa. Tambahan pula pelajar tidak
perlu bergegas ke kantin untuk makan pagi dan tengahari. Ini memberikan
lebihan masa kepada para pelajar dan jika pelajar bijak memanfaat dan
mengurus masanya maka dia akan mempunyai banyak masa bagi mengulangkaji
pelajarannya. Kelebihan seperti ini tidak ada pada bulan-bulan biasa
oleh itu manfaatkanlah Ramadan sebaik-baiknya.
Perut yang kenyang merangsang rasa malas dan mengantuk.
Pada bulan-bulan biasa pelajar cenderung untuk makan dengan banyak
pada waktu tengahari dan mengantuk serta malas di waktu petang. Malah
ramai juga pelajar yang mengantuk dan malas meskipun masih lagi berada
diwaktu pagi. Perut yang kenyang adalah antara penyebab kepada masalah
malas dan mengantuk ini. Dengan berpuasa, masalah ini dapat diatasi.
Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat anda sihat,
segar dan bertenaga.
Bulan Ramadan memudahkan kita bangun awal.
Waktu belajar yang paling sesuai adalah di awal pagi. Oleh itu
pelajar digalakkan untuk tidur awal dan bangun seawal jam 4.00 pagi.
Apabila bangun, buatlah solat tahajud dan solat hajat kemudian mulalah
menelaah pelajaran. Bangun di awal pagi memberikan pelajar beberapa
kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar,
tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan minda yang lebih
fokus. Oleh itu manfaatkanlah waktu bulan Ramadan ini sebaik-baiknya
untuk belajar dan beribadah.
Doa orang berpuasa dimakbulkan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda,
"Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka."
Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi
saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa
orang yang di zalimi dan orang yang musafir". Jelas di sini kelebihan
orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah. Oleh itu,
pelajar mesti menggunakan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada
Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan
hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Hak
pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin tetapi keputusan sebenar tetap
dalam ketentuan Allah. Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulangkaji
keluar dalam peperiksaan. Juga berdoalah agar diri mampu melakukan yang
terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan.
Bulan Ramadan adanya Malam Lailatulqadar.
Kita semua sedia maklum yang dalam bulan Ramadan ada satu malam yang
lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatulqadar. Inilah malan
yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap hamba Allah yang beriman.
Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar
bertemu dengan malah yang hebat ini agar permohonan kita diangkat ke
langit dan dimakbulkan oleh Allah. Dengan izin Allah, maka pelajar
mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada
kemahuan dan keyakinan.
SEKIAN.
No comments:
Post a Comment